SEJARAH KEMERDEKAAN

21 Julai 2010

Kebenaran Pasti Menang



“Kita boleh membina jalan raya bertaraf antarabangsa, kita boleh membina bangunan pencakar langit tertinggi di dunia, kita boleh membina lapangan terbang yang canggih, tercanggih di dunia, tetapi jika gagal membina dan membangunkan manusia, kita pasti akan gagal mencapai hasrat dan cita cita negara”.

“Jalan rosak boleh dibaiki, bangunan rosak juga boleh dibaiki, tetapi jika akal budi sudah rosak buruklah padahnya”.

“Walaupun miskin dari segi pendapatan tetapi isu atau persepsi miskin di dalam jiwa dan semangat perlu diubah”.

Tiga ungkapan di atas adalah di antara contoh ucapan yang pernah disampaikan oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sama ada sebagai Timbalan Perdana Menteri sehinggalah beliau menjadi Perdana Menteri.

Meneliti ucapan ini kita dapat mengesan betapa Najib amat mengambil berat hal hal berkaitan pembinaan dan pembangunan manusia.

Sewaktu awal Islam, Rasullullah SAW juga amat menekankan pembentukan personaliti selain persoalan aqidah dan tauhid. Barangkali inilah ikutan Najib dalam membina negarabangsa tercinta ini.

Para pemimpin, kakitangan kerajaan dan rakyat umumnya perlu mempunyai kesungguhan yang sama dalam menterjemahkan hasrat dan cita cita murni Najib ini.

Kita sudah dapat melihat banyak contoh betapa manusia yang terpelajar menggunakan ' kepandaian ' mereka dengan cara yang salah kesan pembangunan diri yang tidak seimbang.

Jenayah kolar putih selalunya dikaitkan dengan golongan terpelajar. Penipuan, pecah amanah, rasuah dan sebagainya masih menjadi barah dalam masyarakat kita.

Ada individu belajar dalam bidang agama menggunakan agama untuk kepentingan peribadi. Terpelajar bahkan digelar ulama dan Tok Guru tetapi sentiasa sinis dan sarat sindiran khasnya apabila bercakap tentang perpaduan. Bergelar ulama tetapi tidak konsisten dalam pendirian.

Ada orang pakar dalam bidang undang-undang. Mereka mempersendakan undang undang dan institusi berkaitan dengannya demi kepentingan individu atau kelompok yang mereka wakili.

Ada pula yang amat petah berkata-kata. Pidato mereka memukau ribuan pendengar. Malangnya mereka menggunakan kelebihan ini untuk berbohong dan memfitnah.

Sangat bahaya sebenarnya jika kita gagal membina dan membangunkan manusia secara seimbang. Hakikatnya manusia adalah unsur terpenting dalam sesebuah negara.

Saya ingin mengajak pembaca untuk sama sama berfikir mengenai perkara ini kerana saya dapati ada pertentangan yang amat nyata sedang melanda negara kita. Kerajaan UMNO berusaha sedaya upaya membina dan membangunkan negarabangsa manakala kumpulan yang dipimpin oleh DAP bersungguh-sungguh mahu meruntuhkannya.

Kerajaan pimpinan UMNO berjaya mendirikan banyak Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di seluruh negara. Begitu ramai doktor yang warak, jurutera yang berakhlak dilahirkan bermula di sekolah sekolah ini. Orang yang bekerja dengan agama menjadi landasan pasti akan jadi pekerja cemerlang.

Kadar kemiskinan dapat dikurangkan secara beransur ansur. Hampir tiada kemiskinan tegar dikesan dalam negara. Dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin parah Malaysia masih menjadi tumpuan pendatang asing kerana mereka boleh membina kehidupan di sini.

Umumnya rakyat hidup bebas dan selamat termasuk pemimpin pembangkang yang sudah bertahun tahun mendakwa terancam dan mahu dibunuh. Ini semua adalah kesan pembangunan seimbang yang saya maksudkan.

Ini semua adalah hasil usaha kerajaan yang ditunjangi UMNO. Banyak jasa dan budi telah ditabur kepada rakyat termasuk kumpulan pimpinan DAP yang saban hari meracuni pemikiran rakyat.

Saya merasakan bahawa masanya telah sampai untuk UMNO khasnya mula menyebut dan menerangkan kepada rakyat apa yang telah dibuat selama ini. Rakyat terutama orang Melayu mesti dikejutkan dengan kebenaran bahawa bukan semua kerajaan sama seperti kerajaan UMNO/BN.

Semua pemimpin UMNO di semua peringkat tidak lagi boleh berfikir untuk menjadi’ hero baik ' yang sentiasa menyembunyikan kebaikan mereka. Turunlah kepada rakyat, dedahkan apa yang selama ini mungkin rakyat tidak tahu.

UMNO mesti berubah. UMNO perlu pergi kepada rakyat, bukan duduk berharap akan berlaku persefahaman atau kerjasama bersama PAS. Mana mungkin parti besar yang banyak berjasa ini boleh duduk semeja dengan PAS yang kita ketahui telah dijajah. PAS telah dijajah dan tidak akan mampu membuat keputusan.

UMNO usah bimbang. Rakyat sedang memerhati dan menilai. Lebih penting daripada itu Allah juga melihat dan menilai. Pasti Allah tidak akan menolong mana-mana golongan yang menjual agamanya dengan harga yang rendah.

Dalam masa yang sama, pemimpin dan ahli UMNO juga mesti berani menilai diri. Hasil penilaian itu buatlah penambahbaikan. Percayalah, kebenaran pasti akan menang. - Utusan Malaysia

Sokong Penyatuan Melayu Tanpa Berpihak

Usaha Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria untuk menyatukan orang Melayu tanpa berpihak kepada mana-mana parti perlu disokong dan diberi keutamaan.

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd. Tamyes Abdul Wahib berkata, dalam konteks itu adalah tidak adil sekiranya menuduh tokoh agama itu sebagai mencampuri urusan politik sedangkan beliau adalah mufti yang bertanggungjawab terhadap hal-hal berkaitan agama.

Tegasnya, kekuatan umat Islam kini bergantung kepada perpaduan orang Melayu supaya ia tidak dilihat lemah sehingga tidak mampu melaksanakan sebarang keputusan komprehensif.

‘‘Kenapa bukan Melayu boleh bersatu walaupun berbeza fahaman parti politik?

‘‘Dalam hal ini, saya yakin Melayu perlu bersatu dan semua pihak perlu mencari jalan penyelesaian bagaimana mahu Melayu menjadi kuat dan tidak berpecah sehingga boleh mengorbankan hak istimewa orang Melayu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Harussani menjadi sasaran kritikan pemimpin Pas atas usaha beliau mahu menyatukan orang Melayu.

Mufti Perak itu pada masa sama turut melahirkan kebimbangan bahawa orang Melayu boleh hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sekiranya UMNO dan Pas enggan bersatu.

Dalam pada itu, Penasihat Agama Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut ketika dihubungi berkata, para cendekiawan terutama golongan ulama dan ilmuwan Islam perlu melibatkan diri dalam usaha mendamaikan dan mencari penyelesaian apabila berlaku pertelingkahan antara dua golongan saudara Islam mengikut kemampuan masing-masing.

Jelasnya, Islam turut melarang umatnya bersangka buruk sesama sendiri serta mencari kesalahan dan keaiban orang lain.

Katanya, ia selaras dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud, Sesungguhnya dan sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

‘‘Allah juga berfirman dalam surah yang sama ayat 12 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang), kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa,” katanya.

Tambah beliau, perpecahan dan pergaduhan itu sebahagian dari maksiat dan hendaklah dielakkan.

‘‘Allah juga memerintahkan tolong-menolong dalam kebaikan dan kebajikan sebaliknya melarang menolong dalam melakukan kejahatan seperti perpecahan, persengketaan dan pergaduhan.

‘‘Nabi Muhammad SAW juga menggambarkan masyarakat Islam ini dalam kerjasama saling bantu membantu, bersimpati, berkasih sayang seperti satu tubuh apabila salah satu daripadanya mengadu kesakitan, seluruh anggota lain tidak akan tidur dan demam,” katanya