SEJARAH KEMERDEKAAN

04 Mei 2012

PM: Perhimpunan Sabtu lalu cubaan guling k'jaan

Perhimpunan badan bukan kerajaan berhampiran Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, Sabtu lepas, adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi sistem demokrasi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri berkata tindakan itu menunjukkan pihak yang terlibat tidak menghormati kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi proses yang sah. "Mereka ada niat untuk tawan Dataran Merdeka, bukan berhimpun untuk dua tiga jam tetapi dua tiga hari atau lebih daripada itu, nak gambarkan kerajaan tidak boleh mengawal keadaan. "Mereka nak jadikan Dataran Merdeka sebagaimana Dataran Tahrir di Mesir," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Komuniti 1Malaysia Negeri Kelantan di Padang Pusat Sivik di Gua Musang hari ini Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini, berucap di hadapan lebih 30,000 orang yang mula menunggu ketibaan beliau sejak pukul 7 pagi di padang Pusat Sivik itu. Perdana Menteri berkata kerajaan tidak boleh berkompromi dengan kumpulan tersebut yang cuba menumbangkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah. Beliau berkata dalam cubaan kumpulan terbabit menawan Dataran Merdeka, mereka telah bertindak ganas antaranya mencederakan anggota polis dan wartawan serta merosakkan kenderaan polis dan harta awam. Semalam, Timbalan Ketua PKR Cabang Rasah, R Tangam merupakan orang pertama didakwa di mahkamah atas tuduhan melanggar perintah Mahkamah Majistret berhubung larangan menyertai perhimpunan yang bertukar ganas Sabtu lepas. Hari ini, polis menyiarkan gambar 49 individu yang dikehendaki polis dalam akhbar-akhbar tempatan yang disyaki terbabit dalam pelbagai kesalahan sepanjang perhimpunan itu. Perdana Menteri berkata kumpulan tersebut menyalahkan polis yang didakwa menyebabkan tercetusnya kekecohan pada perhimpunan tersebut. Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional mencabar kumpulan itu agar bersaing melalui saluran pilihan raya. "Kepada kumpulan ini, bersainglah di peti undi, kalau anak jantan bersainglah di peti undi. "Saya tidak nafikan ada sedikit sebanyak kekasaran oleh polis, tetapi perkara ini boleh dielakkan jika mereka hormati undang-undang yang diluluskan Parlimen," katanya. Perdana menteri berkata kerajaan telah menawarkan lokasi yang sesuai untuk mereka berhimpun secara aman termasuk di Stadium Merdeka tetapi mereka menolak tawaran itu."Mereka tolak Stadium Merdeka kerana niat mereka itu, kalau negara harmoni dan semua dalam keadaan baik, mereka tidak boleh duduk di takhta Putrajaya," katanya. Sementara itu, Najib berbangga dengan orang ramai termasuk penduduk di Gua Musang, yang membanjiri padang Pusat Sivik itu, yang dapat berhimpun secara aman dengan semangat perpaduan yang tinggi tanpa mencetuskan keadaan huru hara. "Saya tabik kepada orang Gua Musang, kita boleh beritahu pada puak yang berhimpun dekat Dataran Merdeka bahawa orang Gua Musang lebih bertamadun daripada mereka. "Mereka (penduduk Gua Musang) mencerminkan masyarakat madani, menghormati prinsip undang-undang dan tidak mahu kacau bilau," katanya. Bernama

18 April 2012

JANGAN MUDAH DIPERDAYA PEMBANGKANG

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, berkata rakyat di negeri ini tidak akan terpengaruh dengan bermacam-macam dakyah berbentuk hasutan yang cuba dibawa pihak pembangkang memandangkan apa jua taktik mereka adalah gimik semata-mata untuk mengaburi mata rakyat.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan ‘Roadshow’ Yayasan Sabah (YS) Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna Sri Libaran, Sandakan, petang kelmarin beliau berkata konsep turun padang yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya menepis segala dakyah membolehkan rakyat memahami perjuangan sebenar BN yang membela nasib rakyat pelbagai kaum dan anutan agama di negeri ini.

Katanya, rakyat sudah matang dan mereka tahu parti mana yang mampu memberikan pembangunan serta kestabilan politik jika dibandingkan dengan pembangkang yang suka menjanjikan bulan dan bintang.

“Kita akan meneruskan konsep turun padang bagi memastikan rakyat mendapat penjelasan tambahan pula menjadi tangungjawab bagi pemimpin BN untuk mengatasi masalah rakyat,” jelasnya.

Musa yang juga merupakan Menteri Kewangan Negeri mengakui meski pun ada projek pembangunan yang belum terlaksana tetapi kerajaan akan berusaha untuk mengatasi secepat yang boleh.

Pun begitu, ujarnya, pembangunan dibawa BN telah memanfaatkan semua kaum apatah lagi kerajaan juga menitikberatkan aspek pendidikan.

Mengenai majlis itu, ‘Roadshow’ kelolaan YS itu merupakan pendekatan terbaik dalam usaha kerajaan khususnya agensi-agensi kerajaan yang terlibat bertemu rakyat sekali gus memahami apa jua fungsi dan kaedah untuk dimanfaatkan bersama.

“Program ‘Roadshow’ seumpama ini amat baik kepada rakyat memandangkan ia mampu memberi penerangan berkaitan perkembangan semasa selain manfaatnya,” katanya.

Dalam pada itu, Musa memaklumkan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan melawat daerah Sandakan pada 20 April depan.

Katanya, Datuk Seri Najib akan menghadiri satu majlis perjumpaan perdana bersama masyarakat di Dewan Hakka, Batu 5 dekat sini.

“Oleh itu, saya mengalu- alukan kedatangan masyara- kat Sandakan ke majlis berkenaan untuk bersama-sama Perdana Menteri kita,” beritahunya.

Sebelum itu, Musa telah menyempurkan perasmian Hari Terbuka Pusat Latihan Orang Buta di Taman Cahaya Sandakan yang diadakan di Kompleks Penyayang Taman Cahaya Kampung Muhibbah, Rancangan Sungai Manila, Batu 12.

Dalam ucapannya, beliau berkata sebagai kerajaan prihatin dan bertanggungjawab kepada semua lapisan rakyat maka nasib serta kepentingan Golongan Kurang Upaya atau OKU tidak akan diketepikan.

Sebagai bukti, katanya, pihak Kerajaan Negeri telah membina kompleks berkenaan yang bernilai RM5 juta bagi memberi pelbagai latihan kepada mereka agar mempunyai kemahiran untuk diaplikasikan bukan saja dalam kehidupan tetapi juga dalam mencari pekerjaan selepas tamat latihan. (ST

JASA RAMAL BN DAPAT 2/3 PARLIMEN PRU13

BN diramal akan terus mengekalkan tampuk kekuasaannya selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) dan merampas semula beberapa negeri yang kini diperintah oleh parti pembangkang, demikian menurut kajian Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Pengarah Bahagian Gerak Sarafnya, Taharuddin Yaakob hari ini berkata, kajian itu juga menunjukkan BN akan memperoleh semula majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum akan datang ini.

"Rakyat menghargai kesungguhan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Belum pernah dalam sejarah, seorang Perdana Menteri membentangkan kad laporan untuk penilaian rakyat sebagaimana yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili Ketua Pengarah JASA Datuk Fuad Hassan pada majlis bersama pegawai JASA dan aktivisi JASA Negeri Johor, yang turut dihadiri pengarah JASA Johor Mohammad Abu Bakar, di Johor Bahru.

Taharuddin turut menyampaikan imbuhan wang tunai RM3,000 kepada 37 bekas pegawai JASA Johor dan komputer riba kepada 80 pegawai JASA negeri yang berkhidmat di kawasan-kawasan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri Johor.

Katanya, walaupun kajian JASA itu menunjukkan peluang BN di Pulau Pinang yang kini diperintah oleh DAP sebagai ‘malap’, tetapi peluangnya di negeri-negeri lain yang diperintah pembangkang adalah amat cerah.

"Di Kedah, peluang BN untuk merampas semula negeri ini adalah cerah, manakala di Selangor pula, walaupun ia menunjukkan sinar yang baik tetapi pengurusan isu pengundi bukan Melayu perlu dipertingkatkan," katanya.

Kesimpulannya, kata Taharuddin, BN akan menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding 2008 dengan memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum kali ini dan memperoleh semula majoriti dua pertiga.

"Insya-Allah, BN akan menang pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Menurutnya, pembangkang kini memainkan pelbagai isu bagi mengelirukan rakyat serta memburukkan persepsi orang ramai terhadap kerajaan dan bukannya bertujuan meminta jawapan.

Sementara itu, beliau berkata, imbuhan wang tunai itu merupakan rasa penghargaan kerajaan terhadap pergorbanan yang dilakukan oleh bekas-bekas pegawai JASA itu. (Bernama)