SEJARAH KEMERDEKAAN

06 November 2010

USAH TERLALU SELESA DENGAN KEMENANGAN BERGANDA BN

Momentum kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil yang pernah hilang sebelum ini berulang lagi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Parlimen Batu Sapi. Kemenangan BN pada kedua-dua pilihan raya kecil itu mengulangi kejayaan serupa di DUN Bagan Pinang dan Parlimen Hulu Selangor.

Lebih manis, kejayaan Galas boleh dianggap kemenangan berganda kerana bukan sahaja berjaya merampasnya dari tangan pembangkang, malah dengan majoriti yang lebih besar pula.

Merampas kerusi yang sebelum ini dipegang oleh Pas, di negeri yang dikuasai oleh Pas pula, bukanlah sesuatu yang mudah. Kerana itu ramai yang tidak berani meramalkan nasib BN di Galas meskipun ada keyakinan yang tinggi untuk menang di Batu Sapi. Memang tidak dinafikan kawasan Gua Musang sebelum ini adalah kubu kuat UMNO tetapi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 yang lalu, buat pertama kali Pas berjaya menembusinya sejak 1955.

Begitu pun, dengan senario politik semasa dan ketidaktentuan bentuk sokongan pengundi atas pagar kaum Melayu dan Cina, BN dan Pas mempunyai peluang untuk menang.

Namun, majoriti penduduk Galas lebih menaruh kepercayaan yang tinggi kepada calon BN, Abdul Aziz Yusoff manakala di Batu Sapi pula, Datin Linda Tsen Thau Lin berjaya mempertahankan kerusi BN. Rentak kejayaan seperti yang diperlihatkan di Galas dan Batu Sapi ini perlu dipertahankan oleh BN kerana gelanggang yang lebih besar iaitu PRU-13 akan tiba dalam sela waktu yang tidak terlalu lama.

Kerana itu, BN tidak boleh terlalu selesa dan berkeyakinan tinggi dengan kemenangan ini kerana meskipun ia menunjukkan peningkatan sokongan yang ketara, namun ia bukan ukuran kepada corak sokongan semasa.

Dalam terus melangkah ke depan, masih banyak yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan oleh jentera BN bagi memenangi hati rakyat secara keseluruhannya. Jika diukur dari sudut agenda pembangunan rakyat, apa yang ditawarkan oleh BN ketika ini boleh dikatakan serba lengkap dan sempurna. Gagasan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak misalnya, sudah merangkumi hampir kesemua aspek yang diperlukan untuk menggerakkan sebuah bangsa dan negara yang berjaya.

Gagasan itu pula diperkemaskan dengan pelbagai dasar-dasar pembangunan yang diumumkan satu persatu oleh Najib sejak mengambil alih pentadbiran negara.

Cuma apa yang tinggal ketika ini ialah bagaimana jentera-jentera BN terutamanya di peringkat Bahagian dan Cawangan menyempurnakan agenda di sebalik gagasan itu supaya benar-benar dinikmati dan dirasai oleh rakyat.

Gerak kerja mendekati seramai mungkin pengundi yang ditunjukkan oleh pemimpin ketika di Galas dan Batu Sapi tempoh hari juga perlu dikekalkan dan diperhebatkan di kawasan-kawasan lain.

Bukan rahsia lagi, pendekatan seperti turun padang dan mendekati masyarakat secara langsung itu menjadi rahsia kepada kejayaan BN selama ini. Pada peringkat seperti ketika ini juga, BN perlu mengelak daripada terjebak dengan isu remeh-temeh yang langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Ambil sahaja pengajaran daripada strategi pembangkang yang gemar mencetuskan provokasi dan menakut-nakutkan pengundi. Pendekatan pembangkang itu akhirnya menjerat diri sendiri kerana pengundi tidak melihat pembangunan yang cuba dibawa oleh pembangkang, melainkan tuduhan-tuduhan tidak berasas yang dilemparkan kepada kerajaan.

Apatah lagi rakyat ketika ini juga berada dalam gelombang kesedaran yang tinggi untuk menilai parti mana yang lebih layak menerajui kepimpinan sesebuah kerajaan.

Kekalutan yang berlaku di dalam pakatan pembangkang serta negeri-negeri yang dipimpin parti itu membuka mata rakyat bahawa tidak banyak pembaharuan yang boleh diharapkan.

Ini merupakan peluang bagi BN untuk meyakinkan rakyat bahawa parti itu seharusnya kembali menjadi pilihan pada pilihan raya akan datang. Perlu diperhatikan juga ialah peningkatan sokongan pengundi kaum Cina sama ada di Galas dan Batu Sapi.

Ia merupakan satu perubahan positif dan menunjukkan bahawa masyarakat Cina tidaklah sepenuhnya menolak kepimpinan BN seperti yang sering digembar-gemburkan sehingga menakut-nakutkan kaum ini untuk mendekati BN.

Ia juga menunjukkan bahawa parti komponen MCA dan Gerakan masih berpeluang untuk menarik kembali kepercayaan pengundi-pengundi Cina untuk menyokong BN tanpa perlu mengikut trend pembangkang yang membuat tuntutan bukan-bukan.

Seperti kaum lain juga, pengundi kaum Cina tidak mempunyai masalah untuk menyokong BN sekiranya mereka diyakinkan bahawa nasib mereka akan lebih terjamin di bawah pemerintahan BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan