Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kedua-dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Melaka dan DUN Kerdau di Pahang apabila menewaskan PAS pada pilihan raya kecil kedua-dua kawasan itu hari ini dengan majoriti bertambah berbanding keputusan pada pilihan raya umum 2008.
Di Merlimau, calon BN, Roslan Ahmad menewaskan calon PAS, Yuhaizad Abdullah dengan majoriti 3,643 manakala di DUN Kerdau, calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad menang dengan majoriti 2,724 undi menewaskan calon PAS, Hasanuddin Salim.
Roslan mendapat 5,962 undi manakala Yuhaizad 2,319 undi. Syed Ibrahim pula menerima 5,060 undi mengatasi Hasanuddin yang memperoleh 2,336 undi.
Pada pilihan raya umum ke-12, BN menang di Merlimau dengan majoriti 2,154 undi manakala pada pilihan raya umum 2004 pula 5,087.
Di Kerdau pula, BN menang dengan majoriti 1,615 undi pada 2008 dan 2,565 undi pada 2004.
Keputusan pilihan raya kecil itu diumumkan oleh pegawai pengurus pilihan raya, Datuk Tarif Abdul Rahman kira-kira 8.20 malam ini.
Majoriti kemenangan BN itu juga mengembalikan tahap sokongan yang dinikmatinya pada pilihan raya umum 2004 di mana parti itu mendapat majoriti sebanyak 2,565 undi.
Ia juga menunjukkan pertambahan hampir 70 peratus berbanding majoriti yang diperolehi BN sebanyak 1,615 undi pada 2008.
Keadaan ini menunjukkan sokongan pengundi telahpun kembali kepada BN di Kerdau.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas kemenangan BN di Merlimau dan Kerdau berkata, walaupun cemerlang, tetapi ia adalah satu pilihan raya kecil, dan tidak menggambarkan senario nasional.
Bagaimanapun, katanya, BN akan mengambil iktibar daripadanya untuk mengukuhkan usahanya, supaya apabila tiba pilihan raya umum nanti, mesej yang dibawa di situ, dapat difaham di seluruh negara.
Sementara itu, pilihan raya kecil DUN Kerdau turut mencatatkan 83 peratus atau 7,480 orang pemilih keluar mengundi selepas semua 13 pusat mengundi ditutup 5 petang tadi.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya sudah menjangkakan jumlah itu berdasarkan pencapaian pada pilihan raya umum 2008 lalu iaitu 80.3 peratus.
Menurutnya lagi, proses pengundian sejak pukul 8 pagi hingga 5 petang juga berjalan lancar walaupun terdapat beberapa insiden provokasi antara penyokong parti bertanding iaitu PAS dan BN.
"Di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau tadi, keadaannya memang tegang dan panas tetapi pihak polis bertindak pantas mengawal keadaan supaya tidak berlarutan menjadi perkara tidak diingini," katanya kepada pemberita di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan