SEJARAH KEMERDEKAAN

28 Jun 2011

Bersih Sandiwara DAP Curi Peluang Porak Perandakan Orang Melayu



KUALA LUMPUR, 28 Jun – Demonstrasi jalanan atas nama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) hanyalah sandiwara DAP dalam usaha untuk mewujudkan pertelingkahan dalam bangsa Melayu bagi memudahkan mereka ‘menangguk di air keruh’, kata Ketua Pusat Pembangunan Anak Bangsa di Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), Profesor Datuk Dr. Abdul Halim Sidek.
Jelasnya, biarpun Bersih menggunakan NGO dan badan bebas tetapi semua pihak sedar bahawa ia mempunyai agenda politik kotor yang tentunya akan memberi kesan buruk pada rakyat dan negara sekiranya dibiarkan begitu sahaja.
“Dalam hal Bersih, DAP lebih banyak ‘diam’ biarpun dalam jawatankuasanya ada anggotanya terlibat tetapi yang memainkan peranan adalah bekas pengerusi Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan sebagai Pengerusinya yang dikatakan akrab dengan Presiden DAP, Karpal Singh selain para pemimpin Pas dan juga PKR,” katanya kepada UMNO-Online.
Katanya, anggota pembangkang termasuk Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu lantang bersuara untuk menyeru rakyat turun dalam demonstrasi ini dan tentunya yang ramai terlibat adalah anggota Pas iaitu berbangsa Melayu.
“Malangnya kerajaan yang dicabar dan diperkotak-katikkan adalah UMNO yang didukung oleh bangsa Melayu, menjadi tunjang Barisan Nasional (BN) dan apabila berlaku pertelingkahan dalam bangsa Melayu secara tidak langsung akan ada pihak lain yang mengambil kesempatan atas kesulitan.
“Inilah tujuan utama mereka mengadakan demonstrasi iaitu untuk menghancurkan perpaduan bangsa dan menjadikan ibu kota porak-peranda,” tegasnya.
Tambahnya lagi, formula tersebut telah digunapakai oleh para pemimpin DAP apabila mereka mahu menguasai Pulau Pinang sebelum Pilihan Raya ke-12 lalu iaitu memastikan rakyat lemah dan rapuh dari dalam bagi memudahkan mereka meresap masuk untuk mendominasi negeri terbabit.
“Bersih bukanlah satu perhimpunan yang telus sebagaimana apa yang mereka perjuangkan sebaliknya ia didalangi unsur politik yang digerakkan atas kepentingan peribadi antara satu sama lain.
“Siapakah individu yang benar-benar arif untuk melaksanakan demonstrasi di Malaysia malah sejak bergelar mahasiswa hinggalah ke hari ini, individu ini terlalu taksub mengejar pangkat dan kuasa hingga sanggup dijadikan kuda tunggangan dan menggadaikan bangsa, agama dan tanah air sendiri,” katanya.
Beliau yang juga pensyarah di Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut membidas Ambiga sebagai watak dalam sandiwara DAP untuk mendapat kuasa.
“Sebagai seorang peguam yang mempunyai pendidikan dalam bidang perundangan tentunya beliau arif dan tahu apa yang benar dan apa yang salah tetapi beliau tetap mahu meneruskan demonstrasi tersebut biarpun tidak mendapat kebenaran.
“Beliau (Ambiga) bukan sahaja patut ditangkap tetapi telah mengaibkan profesionalisme perundangan yang sewajarnya mencari jalan penyelesaian bukan dijalanan sebaliknya menggunakan saluran perundingan atau di mahkamah.” - MediaUMNO

Berita Bertarikh 28 June 2011 Pada 4:45 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan